5th BITE: CAIR MENTEGA TANPA GARAM PADA SUHU BILIK
Satu botol air mineral habis aku teguk. Hari ini hari Ahad, dan akhirnya aku punya satu hari yang bebas. Nasib baiklah temujanji yang sepatutnya tengah hari ini sudah dibatalkan. Lebih kurang dua jam aku di gym ni, terasa seperti ingin ke SV cake house. Apalah nak jadi dengan aku ni kan. Aku melangkah ke bilik persalinan. Mandi. Melekit sudah rasanya badan aku ni. Lepas ke SV kena ke rumah daddy pula, ish malas ah. Entah apa hal yang penting pun aku tak tahu.
Mini Cooper merah jambu aku meluncur perlahan memasuki halaman SV. Boleh tahan ramai juga pengunjung waktu begini kalau dilihat pada bilangan kereta disini. Prada’s shade yang melekap pada batang hidung, aku tarik dan selitkan di celah beg. Buat kali terakhir..aku memeriksa penampilanku pada cermin. Selendang abstrak berwarna-warni yang aku lekapkan di kepala, aku kemaskan lilitnya. Puas hati. Seketika merenung kosong pada stereng sewaktu ingin mencabut kunci. Bukan apa, bila teringat balik hal semalam.. nak tergelak pun ada.. entah bila la agaknya kali terakhir aku pegang tepung, siap pecahkan telur lagi.. waaa..
“Kakak, come here.. nak buat tolong mummy buat cookies tak?” Aku tersenyum sendiri sebaik terkenang memori dengan arwah. Tak banyak pun yang aku ingat.. mungkin sebab mummy pergi pun masa aku belum masuk sekolah lagi.
Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari kereta, mata aku terus menghala pada arah sisi luar SV. Ada sesuatu yang menarik pandangan aku disitu, dibahagian luar SV yang agak terlindung kelihatan Melati sedang berbicara dengan seseorang. Anas? Si seram? Ye la, dia la tu. Jantung aku tiba rasa berdebar tanpa aku sendiri tahu sebabnya.. dah, aku ni apahal pula.
Aku memfokuskan pandangan aku. Tampak mesra.. mereka ada apa-apa ke? Ish, kenapa aku nak fikir macam tu pula. Kalau ya pun.. bukan ada kena mengena dengan aku pun kan? Tapi.. macam ada kena mengena sikit la.. Rasanya aku.. Err, entah la. Mata aku masih pada hala yang sama dan sekali lagi jantung aku terasa lain macam. Aku memekap dada yang terasa padat. Anas dan Melati berpelukan.. Eh, tu apahal pula siap laga laga pipi. Aku terus memerhati sehingga Anas kemudian berlalu menerusi pintu belakang SV.
Apa benda ni? Apahal dengan aku ni.. tiba tiba jadi penyibuk sangat ni? Siap mengintai orang. Isk.. teruk la aku ni. Kalau dah memang Anas dengan Melati, Melati pula sahabat aku. Kira memang aku tak ada peluang la ni? Hey hey, apa aku fikir ni? Karut! Aku jelous ke? Ergh, tak. Tak. Takkan aku suka kat dia plak. Haish mengarut dah aku ni. Oh Nurul Ashikin… bangkitlah dari alam khayalan kamu. Ish, tapi serius aku tak pernah rasa macam ni. Kenapa dada aku terasa berat? Aku ada silap makan ke? Ish, pedulikanlah.. Lagipun si Seram tu pun siapa.. bukannya aku kenal sangat, yang aku tahu pun cuma nama dia. Baru seminggu pun kenal dia, buat apa aku nak peduli hal peribadi dia kan? Suka hati dia lah nak kawan dengan siapa, kalau dia nak kahwin dengan siapa pun lagilah tak ada kena mengena dengan aku. Sudah, hentikan semua karutan ini.
“Mel..!” Aku menjerit pada Melati yang kelihatan seperti ingin melangkah masuk semula ke SV. Aku menarik nafas dalam dan menghela semula. Seukir senyuman aku ukir manis sambil melangkah pantas kearah Melati yang setia berdiri menanti aku.
“Awal hari ni?” Soalan pertama yang sudah aku jangka keluar dari mulut Melati.
“Tak ada kerja..” Balasku sambil cuba berlagak biasa. Sebaris gigi aku tayang padanya walaupun aku sedar ianya kelihatan tidak berapa ikhlas.
“You ni sihat ke tidak?” Soal Melati sambil dengan penuh yakin menampar perlahan beberapa kali pipi aku. Ya lah..memang aku kurang sihat pun. Aku rasa macam jantung dengan otak aku ni sedikit bermasalah.
“Sihat la. By the way.. nah” Ujarku sambil menghulur bekas air.
“Tebu? Waa.. ni yang I saaaayang you ni. Eh, jom masuk la” Balas Melati pantas mencapai bekas yang aku hulur.
“Aku beli dekat tepi jalan masa nak datang sini tadi, hurm.. hari ni aku rasa, aku tak masuk kot.. daddy suruh pergi rumah dia” Aku memberi alasan. Entah la.. tiba tiba pula ubah fikiran.. sebelum datang tadi macam kempunan sangat.. sekarang dah sampai.. rasa macam.. entah la.
“La.. tak berseri la SV macam ni” Ujar Melati sambil membetulkan pengangannya pada bekas air dan juga satu kotak yang dipegangnya dari tadi. Mesti tak lain, si seram tu yang kasi dekat Melati. Apa la agaknya yang ada dalam kotak tu kan..
“Tengoklah.. kalau sempat malam ni aku datang..” Balas aku.
“Okay lah.. aku ni pun.. nak check stok je..lepas tu aku naik bilik.. malam kot baru turun balik..” Ujar Melati yang tinggal dibahagian atas SV yang pada asalnya dulunya sebuah mansion lama dan bahagian bawahnya yang diubahsuai menjadi cake house, cinta hati aku ni. Macam la cake house ni aku yang punya.
***
Anas memeriksa sekali lalu begnya yang diangkat masuk ke dalam limo. Sebaik bersalam dengan ayahnya dia pantas melangkah masuk kedalam limo. Perjalanan jauh malam ni sudah tentu memenatkan, tapi dia mesti balik juga. Dia menekap telinganya dengan headphone yang bagai sudah menjadi sebahagian dari dirinya. Lagu I’m Alive nyanyian Becca bermain sebaik butang play ditekan.
“Eh, lagu ni ringtone Shikin kan” Tidak semena terluah dari bibirnya.
“Pardon” Ujar pemandu limo yang fikir Anas berkata sesuatu pada dia. Anas mengerutkan dahinya seketika sebelum tersenyum sendiri mengenang salahnya. Sudah memang hanya mereka berdua dalam limo tu, mana la abang limo ni tak tersalah anggap.
“Nothing, Sorry..” Balas Anas kemudian membetulkan sandarnya supaya lebih selesa. Fikirannya kembali mengimbas situasi di SV pagi tadi. Tak salah, dia ada perasan Nurul Ashikin semasa dia dengan Melati tadi.
Baru dia berkira hendak memejamkan matanya, telefonnya berbunyi. Segera headphone ditarik ke leher dan telefon diganti lekap ke telinga. Suara Ibu yang mencecah telinganya membuatkan dia tersenyum.
“Ibu”
“Anas berlepas pukul berapa?” Soal ibunya.
“Flight at 11.40 tonight.. Ibu dah makan?”
“Sudah.. hurm.. ada jumpa ayah tak?”
“Ada tadi.. baru je bergerak dari rumah ayah ni.. dia kirim salam dekat Ibu” Balas Anas. Walaupun ibu dan ayahnya sudah berpisah dan Ibu sudahpun pulang ke negara asalnya, hubungan mereka sekeluarga, antara dia dengan ayah tidak pernah ada masalah. Walaupun mungkin terasa sedikit kekok dengan ayahnya kerana dari kecil dia tinggal bersama ibu di Paris.
Sesudah selesai berbicara dengan ibunya dia mengerling jam dipergelangan tangannya seketika. Masih awal.. mungkin sempat untuk berjumpa seperti yang dijanjikan dalam telefon malam tadi.
“Sorry.. kita berhenti dekat satu tempat dulu ya. Hillgarden luxury housing” Ujar Anas sambil memeriksa semula alamat kawasan perumahan itu dari telefonnya
***
Beg sandang yang tadi digalas pada bahu, aku letak di atas sofa sebaik sahaja aku menjejak kaki di ruang tamu rumah milik daddy ni. Mata aku liar memerhati sekeliling. Hai.. mana pergi pula tuan rumah ni. Semalam beria sangat suruh aku datang.
“Ja, mana daddy?” Soal aku pada Ja yang menghulur air masak seperti yang diminta aku sebaik masuk pintu tadi.
“Di taman bersama tetamu” Jawab Ja. Tetamu? Siapa pula? Daddy ni.. kalau dah tahu ada tetamu nak datang apa lagi yang disibuknya suruh aku datang. Aku menghabiskan tiga perempat air didalam gelas sebelum aku hulur semula pada Ja.
“Siapa tetamu yang datang tu?” Soal aku pada Ja, anak gadis yang baru habis sekolah, dibawa Julia kerumah untuk menjadi pembantu. Sekali aku lihat, memang ada sedikit persamaan antara Ja dan Julia. Cukup mengingatkan aku pada Julia beberapa tahun yang lalu.
“Tak pasti cik, tapi tuan pesan.. kalau cik sampai, dia suruh cik ke sana” Balas Ja.
“Hmm, okay..” Balas aku ringkas lantas mengatur langkah kearah taman mengikut arah yang ditunjuk Ja.
Terdapat dua taman disini, baru hari ni aku berkesempatan melihat. Aku berjalan merentasi taman tertutup yang merupakan perantaraan ruang rehat dan taman luar, aku sedikit terpukau dengan tema indoor garden yang ala secret garden, melengkapi setiap unsur. Berlainan sedikit pula dengan taman luar yang lebih berkonsepkan zen, japanesse garden.
Aku teruskan langkah sebaik aku menangkap kelibat daddy, Julia dan… ah sudah, apa pula dia buat dekat sini? Ish, nak terus ke nak patah balik ni. Ish.. kenapa dia ada dekat sini? Macam mana dia boleh sampai sini?
“Kakak” Suara daddy memanggil buat aku mati akal seketika. Aku baru berkira- kira nak berlalu dari situ.